Waktu Solat

Perutusan Presiden IKMAL

ASSALAMUALAIKUM W.B.T

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan iradatnya IKMAL terus relevan dan bertahan sehingga ke hari ini.

Penubuhan sesebuah organisasi yang mewakili alma mater sesebuah institusi atau ringkasnya sering dikenali sebagai Alumni biasanya bertujuan sebagai wadah bagi bekas-bekas warga institusi-intitusi tersebut bagi meneruskan silaturrahim di antara mereka di samping membawa bekas-bekas warga tersebut bersama di bawah satu persatuan yang terus menghubungkan mereka dengan institusi tersebut.

Namun, berbeza dengan Alumni yang lain, IKMAL ditubuhkan, selain sebagai tali yang terus mengikat silaturrahim bekas-bekas pelajar dan warga SMAWP/SMAPL dan penghubung kepada SMAWP/SMAPL, ianya juga ditubuhkan dengan kesedaran bahawa bekas-bekas warga SMAWP/SMAPL adalah insan-insan yang telah diintegrasikan dengan ilmu agama yang mantap yang seharusnya terus menjadi pegangan warga-warga tersebut walaupun telah bergelar professional, ahli perniagaan mahupun ilmuwan tersohor. Justeru, IKMAL perlulah digerakkan sebagai satu cabang Jamaah Islamiyyah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah dan disinilah terletaknya keistimewaan IKMAL berbanding Alumni yang lain.

Dengan matlamat yang suci murni ini, adalah jelas bahawa keanggotaan dan penyertaan secara aktif di dalam IKMAL adalah menjadi suatu kemestian di kalangan setiap bekas warga SMAWP/SMAPL bagi meneruskan kesinambungan pembentukan syakhsiah yang luhur pekertinya, kuat akidahnya, serta professional di dalam kerjayanya dan teratur kehidupan peribadinya. Dengan keanggotaan yang ramai dan mantap, IKMAL juga mampu untuk memainkan peranan yang berkesan sebagai jaringan bagi anggotanya bagi memantapkan setiap aspek kehidupan mereka baik dari segi ekonomi mahupun kerohanian, menjaga kebajikan setiap anggota dan warga sekolah, membantu jentera pentadbiran sekolah di dalam meningkatkan fasiliti dan prestasi sekolah dan bagi peringkat luar, persatuan dapat menangani isu-isu semasa terutama yang berkaitan dengan agama, negara  dan bangsa dengan lebih berkesan.

Oleh yang demikian, dengan rendah dirinya saya menyeru kepada semua bekas warga SMAWP/SMAPL agar dapat menyertai IKMAL dan bergiat aktif di dalam aktiviti persatuan bagi mencapai matlamat yang suci dan mulia ini. Tanpa sokongan yang padu daripada warga bekas pelajar, IKMAL tidak dapat digerakkan dengan lancarnya bagi memenuhi hasrat dan aspirasi kewujudan persatuan ini dan kejayaan sesebuah organisasi terutamanya yang bersifat ‘non-profitable’ adalah bergantung sepenuhnya kepada iltizam dan komitmen pendukung-pendukungnya.

Tanpa sokongan dan komitmen yang padu daripada bekas warga SMAWP/SMAPL, tidak mustahil persatuan ini akan berkubur di sebalik kemegahan dan kecemerlangan sekolah yang kita cintai ini.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Pengetua, YDP PIBG yang memberikan sokongan kepada IKMAL bagi menjalankan aktiviti-aktiviti IKMAL dan ribuan terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan aktiviti IKMAL dengan mengorbankan masa dan tenaga mereka tanpa mengharap sebarang balasan bagi usaha yang telah mereka curahkan. Semoga IKMAL akan terus relevan dan berkembang dengan gahnya segah nama SMAPL/SMAWP.


Wassalamualaikum w.b.t.

Yang Benar,

Ahmad Zaki Ahmad Rafa'i

Tiada ulasan:

Catat Ulasan